• Welcome to Faculty of Medicine
  • fomadmin@um.edu.my
  • 03 - 7967 6686
logo
logo
Pautan Asal : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ppum-cipta-sejarah-lakar-kejayaan-pembedahan-pemindahan-hati-kanak-kanak-214642

PPUM cipta sejarah, lakar kejayaan pembedahan pemindahan hati kanak-kanak

Mohd Idzzuan terharu dengan pengorbanan isterinya Amirah Izati yang sanggup berkongsi hati demi menyelamatkan bayi mereka Idzyraf Alsheeraz yang berusia 14 bulan.

TIADA kata yang mampu diluahkan seorang bapa selepas anak sulungnya selamat menjalani pembedahan pemindahan hati pada 6 Ogos lalu.

Bagi Mohd Idzzuan Shaarani, 30, beliau tambah terharu apabila kejayaan itu hasil pengorbanan isterinya Amirah Izati Hamidi yang sanggup berkongsi hati demi menyelamatkan bayi mereka Idzyraf Alsheeraz yang berusia 14 bulan.

Bercerita lanjut, Mohd Idzzuan berkata doktor mengesahkan anaknya menghidap penyakit Biliary Atresia atau hati tersumbat ketika berusia dua minggu selepas dilahirkan pramatang.

Katanya, pembedahan ‘Kasai’ telah dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 27 Julai tahun lalu, namun disahkan gagal sebelum anaknya dirujuk ke Pusat Perubatan Kuala Lumpur (HKL).

Pembedahan ‘Kasai’ merupakan pembedahan bagi membuang duktus hempedu yang rosak serta penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati terus ke usus.

Lebih membuatkan bapa berusia 30 tahun itu terharu adalah pengorbanan isterinya, Amirah Izati Hamidi yang sanggup berkongsi hati demi menyelamatkan bayi mereka yang berusia 14 bulan. GAMBAR PPUM

Lebih membuatkan bapa berusia 30 tahun itu terharu adalah pengorbanan isterinya, Amirah Izati Hamidi yang sanggup berkongsi hati demi menyelamatkan bayi mereka yang berusia 14 bulan. GAMBAR PPUM

“Mereka (pihak HKL) beritahu kami PPUM mahu membuat kerjasama dengan Renji Hospital, China untuk kes pertama (pembedahan pemindahan hati kanak-kanak) di sini. Selepas itu mereka hantar anak kami ke PPUM dan menjalani rawatan susulan di sini.

“(Walaupun pernah gagal) Sebab ini merupakan kerjasama pertama dengan Renji Hospital dan saya percaya dengan kepakaran yang kita ada di Malaysia.

"Sebagai bapa, kita mahu anak sihat, dan disebabkan kondisi dia sudah teruk dan keadaan hati mula merosot, isteri pun tidak fikir panjang.

"Selepas berbincang dengan doktor HKL dan isteri terus bersetuju untuk menderma hati,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengajian Perubatan Universiti Malaya (UM), pada Jumaat.

Ia sekaligus menyaksikan PPUM melakar sejarah pertama dengan kerjasama pakar dari Renji Hospital membabitkan pembedahan pemindahan hati kanak-kanak melibatkan penderma masih bernyawa. GAMBAR PPUM

Ia sekaligus menyaksikan PPUM melakar sejarah pertama dengan kerjasama pakar dari Renji Hospital membabitkan pembedahan pemindahan hati kanak-kanak melibatkan penderma masih bernyawa. GAMBAR PPUM

Selain Idzyraf Alsheeraz, seorang lagi kanak-kanak turut berjaya menjalani pembedahan. Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu menjalani pembedahan pada 7 Ogos.

Sejumlah lebih 20 pakar dari PPUM dan Renji Hospital terlibat dalam pembedahan tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Idzzuan yang bekerja sebagai jurutera berkata beliau berterima kasih kepada pihak yang terlibat dalam membantu mengumpul dana bagi membolehkan pembedahan tersebut yang menelan kos RM120,000, dijalankan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Kalau saya mahu sebut nama semua, memang ramai tetapi anda tahu siapa anda.

"Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana operasi pembedahan berjaya,” ujarnya.


UM Lakar Sejarah

Pembedahan ini sekali gus menyaksikan PPUM melakar sejarah dalam pembedahan membabitkan pemindahan hati kanak-kanak daripada penderma yang masih bernyawa.

Susulan kejayaan itu, Universiti Malaya (UM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Perubatan Shanghai Jiao Tong (SJTUSM) untuk memberi latihan dan kursus kepada 16 profesional perubatan pusat perubatan itu dalam pembedahan pemindahan hati pediatrik.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM), Prof Dr Kamila Ghazali berkata kerjasama itu melibatkan perkongsian ilmu di antara kedua-dua universiti tersebut selain meningkatkan kualiti staf dan pelajar berikutan SJTUSM adalah antara universiti perubatan terbaik di China.

“Hospital Renji adalah tempat pengajaran bagi SJTUSM dan kejayaan awal kerjasama PPUM dengan hospital itu dalam pembedahan pemindahan hati kanak-kanak pertama di sini akan membuka ruang kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik bekerjasama dalam semua cabang perubatan," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Dekan Fakulti Perubatan, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Canselor Shanghai Jiao Tong University School of Medicine (SJTUSM), Profesor Guoqiang Chen serta Pengarah Jabatan Hubungan Antarabangsa SJTUSM, Dr Lin Xu.

Sementara itu, Ketua Pembedahan dan Pemindahan Hati, Profesor Dr Yoong Boon Koon berkata cabaran utama yang dihadapi penghidap Biliary Atresia adalah untuk mendapatkan penderma selain kos pembedahan yang tinggi.

“Kesukaran adalah kadang-kadang sebab dia (pesakit) tiada sokongan kewangan. Jadi, untuk dua pemindahan organ ini, salah seorang ibu pesakit bekerja sebagai jururawat, jadi dia mendapat (bantuan) kerajaan.

“Namun, kedua-dua pasangan itu kita mendapatkan derma daripada syarikat. Ini salah satu masalah melibatkan pembedahan pemindahan hati kerana ia satu pembedahan yang mahal.

“Kita harap pada masa depan, kami boleh mendapat sokongan daripada kerajaan dan badan korporat,” katanya.