logo
logo

Pautan Asal : https://www.mstar.com.my/xpose/famili/2019/08/14/menjaga-pesakit-kronik

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI

Bukan tugas mudah... Emosi pesakit biasanya tidak menentu sehingga ada yang cepat melenting, cemas dengan situasi tertentu serta kemurungan yang memberikan cabaran kepada keluarga menguruskan mereka. Gambar Sekadar Hiasan

BERDEPAN tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang terlantar sakit akibat penyakit kronik seperti kanser harus diakui bukan tugas mudah.

Ini kerana emosi pesakit biasanya tidak menentu sehingga ada yang cepat melenting, cemas dengan situasi tertentu serta berlaku kemurungan yang memberikan cabaran kepada keluarga untuk menguruskan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulut jangan 'main lepas', cukup setakat 15 minit! Patuhi 7 adab ini ketika ziarah orang sakit

Hal ini sudah tentu memberi kesan juga kepada ahli keluarga menjaga pesakit - yang mana boleh menyebabkan mereka berada dalam keadaan serba salah dan tertekan apabila perlu berhadapan dengan kerengsaan emosi pesakit.

Keadaan biasanya bertukar tegang kerana individu yang menjaga pesakit sedemikian tidak memahami perasaan mereka yang melalui detik sukar dalam hidup.

Ada juga penjaga yang bertindak kasar apabila pesakit menunjukkan emosinya seperti marah, merajuk, banyak merungut dan tidak selesa apabila diminta makan ubat atau perkara lain.

Pakar Perunding & Perubatan Paliatif, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Sheriza Izwa Zainuddin berkata, situasi itu adalah senario biasa yang berlaku namun sebenarnya amat penting bagi ahli keluarga memahami terlebih dahulu situasi pesakit apabila mereka disahkan menghidap penyakit kronik.

Perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan ahli keluarga kepada pesakit amat penting. - Gambar Sekadar Hiasan

Ini kerana kata Dr. Sheriza, ia adalah tamparan hebat kepada pesakit untuk berhadapan dengan hakikat yang sekali gus memberi impak kepada emosi mereka.

Pun begitu katanya, terdapat dua aspek boleh membantu ahli keluarga terutamanya dalam memahami situasi pesakit dalam usaha mengurangkan tekanan kepada mereka yang perlu menjaga pesakit.

Memberi perhatian kepada aspek seperti fizikal, emosi, psikososial dan spiritual pesakit

Menurut Dr. Sheriza, pesakit biasanya akan menanggung kesakitan dan kesan sampingan daripada proses rawatan yang menyebabkan mereka memerlukan bantuan daripada orang sekeliling seperi untuk bergerak dan menjalani aktiviti harian.

Perubahan ini memberikan kesan bukan sahaja kepada fizikal tetapi juga psikososial dan emosi pesakit. Perasaan marah, malu, rendah diri, berasa sebagai bebanan kepada keluarga dan bimbang tentang masa hadapan merupakan perkara sering menggangu pesakit.

"Keadaan inilah menyebabkan berlakunya ketidakstabilan emosi pesakit dan jika tidak diberi perhatian sewajarnya ia akan menambah penderitaan kepada pesakit dan keluarga.

Perbincangan dan mendapat informasi lengkap daripada doktor mengenai keadaan pesakit

Sudah menjadi peranan doktor untuk meneliti setiap aspek keadaan pesakit dan sebagai ahli keluarga (mereka) juga perlu melibatkan diri dengan bertanya tentang situasi sebenar seperti kaedah rawatan dan sebagainya.

Dengan cara itu ahli keluarga mendapat gambaran lebih jelas tentang apa sedang dilalui pesakit selain dapat memahami penderitaan apabila mereka menunjukkan emosi tidak stabil.